Tuhan, manusia dan hantu
Namun fikiran dan akidah umat masa kini semakin rapuh. Lihat saja apakah kegemaran dan perbuatan mereka untuk mengisi masa lapang? Adakah lebih kepada mendekati tuhan atau semakin menjauhi tuhan? Kegemaran anak muda masa kini menonton ( televisyen dan wayang), berpeleseran dan pelbagai amalan budaya hedonisme. Semakin lalai dan tidak takut kepada tuhan.
Mari kita lihat keadaan diri kita, saudara kita dan anak-anak kita dan masyarakat sekeliling kita. Bagaimana perasaan mereka apabila hendak tidur, hendak ke bilik air apalagi jika mereka bersendirian. Berani atau takut? Generasi kita semakin menjadi penakut tidak bertempat. Mengapa? Kerana mereka dihidangi oleh pelbagai cerita hantu. Ditambah lagi dalam sesetengah cerita hantu akan mengisahkan bagaimana orang yang berani dan tidak percaya kepada hantu akan diuji yang mana akhirnya akan percaya dengan kewujudan hantu. Filem dan cerita hantu sarat dengan adegan menakutkan, hantu muncul tiba-tiba dari belakang, bawah katil, menjelma sebagai orang yang dikenali sebelum bertukar menjadi wajah yang mengerikan dan sebagainya. Kebanyakan dalam cerita hantu ini, pelakon yang memainkan watak takut kepada hantu, akan berlari, menutup mata dan lari menarik selimut. Dalam filem seram Juon ( filem Jepun ), hantu muncul dari dalam selimut yang mana tentunya meninggalkan kesan yang amat menakutkan dalam diri penonton (khususnya kanak-kanak) tentang kewujudan hantu ini.
Televisyen dan cerita hantu semakin mendapat perhatian masyarakat melayu. Selepas kejayaan Puaka Niyang Rapik di TV3 yang dikhabarkan mendapat rating yang tinggi, drama dan filem seram semakin giat ditayangkan. Antara filem hantu dan seram yang mendapat perhatian penonton ialah jangan pandang belakang, jangan tegur, pontianak harum sundal malam, congkak, anak betung, cucu betung, keliwon, pocong dan sebagainya.
Kita sering mendengar bahawa tiada hantu pada hari jumaat. Tetapi semua hantu dikeluarkan dan dijelmakan di televisyen pada malam jumaat. Sedangkan malam dan hari jumaat adalah merupakan hari yang penuh keberkatan bagi mereka yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Hari jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan juga merupakan hari raya mingguan bagi umat Islam. Pihak televisyen di Malaysia mengembalikan ajaran animisme ke dalam pemikiran masyarakat khususnya umat Islam.
Bukan sahaja filem melayu, bahkan negara lain juga ada membuat filem mengenai hantu dan kebanyakannya hantu yang ditonjolkan lebih kurang sama. Contoh hantu yang dilakonkan iaitu kepala yang terbang menghisap darah orang beranak, hantu polong yang digunakan untuk menghasut manusia, hantu puntianak dari perempuan mati bersalin, toyol, pelesit, hantu bungkus dan juga makhluk halus dari kalangan jin dan bunian. Tidak cukup dengan lakonan, beberapa majalah melaporkan ulasan artis tentang pengalaman-pengalaman pelik semasa melakukan penggambaran. Semua cerita hantu ini membuatkan penonton menyemat dalam hati bahawa hantu itu wujud.
Malah filem Thailand, Korea dan Jepun menayangkan ahli agama boleh menyembuhkan penyakit dan menghalau hantu. Para penonton dan anak-anak yang tidak mempunyai kekuatan akidah, pastinya akan terfikir semua ahli agama (Buddha, Hindu dan Kristian) mempunyai kuasa dan boleh melawan kuasa hantu. Apa yang kita risaukan sekiranya mereka mempersoalkan status kebenaran agama Islam. Semoga kita dan keluarga kita bebas dari kecelaruan kerana jelas dalam Al-Quran mengatakan :
Dan (Ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis dia adalah dari golongan jin, Maka ia menderhakai perintah Tuhannya.
Ayat di atas menceritakan iblis adalah dari golongan jin. Kita mempercayai kewujudan jin kerana Al-Quran menceritakannya. Surah Jin mengisahkan tentang kehidupan jin, bahawa mereka seperti manusia juga ada yang beriman dan ada yang kafir. Jin merupakan makhluk halus dan menurut ahli tafsir jin yang jahat (kafir) dinamakan syaitan.
Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 128 ;
Dan (Ingatlah) hari diwaktu Allah menghimpunkan mereka semuanya (dan Allah berfirman): "Hai golongan jin, sesungguhnya kamu telah banyak menyesatkan manusia
Oleh itu, janganlah biarkan diri kita, keluarga dan masyarakat sekeliling kita tergolong dalam manusia yang disesatkan oleh syaitan. Mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menyesatkan manusia dan tidak akan berputus asa untuk membawa kita ke neraka. Justeru itu, patutkah timbul perasaan takut di dalam hati kita terhadap hantu hanya kerana menjelma dalam keadaan yang menyeramkan dan mengejutkan? Ingatlah bahawa itu strategi halus syaitan, untuk memesongkan akidah kita kepada Allah. Takut kepada hantu bukan kepada Allah menunjukkan kerapuhan iman kita kepada Allah. Jika tersemat kuat dalam hati kita bahawa Allah yang lebih Berkuasa dan Maha Esa, apapun gambaran hantu yang datang pada kita tidak akan menakutkan kita dan menggoyahkan iman kita kepada Allah. Ketakutan kita wajiblah hanya pada Allah.
Firman Allah dalam surah yunus ayat 31
Katakanlah: "Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang Kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan?" Maka mereka akan menjawab: "Allah". Maka Katakanlah "Mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya)?"
Ayat di atas menceritakan tentang sikap masyarakat jahiliah mengenai kepercayaan kepada kewujudan Allah. Jika diperhatikan ayat di atas, masyarakat jahiliah tahu bahawa Allah menciptakan alam ini dan wajib disembah. Itulah pengakuan kaum jahiliah, namun mereka tetap menyembah patung berhala. Apakah bezanya kita dengan masyarakat jahiliah dalam ayat di atas? Kita hidup dalam arus kemodenan, mengaku Allah itu tuhan kita, tetapi siapakah yang kita takuti? Tuhan atau hantu? Yang pasti 2 suku kata ini tu..han...jika dibaca secara terbalik pun tetap ada yang takut. Jika takut pada tuhan, kuatlah iman, sebaliknya jika takut pada hantu rosaklah iman.
Memang benarlah tiada hantu, bukan sahaja pada hari jumaat tetapi setiap hari. Malangnya, ramai manusia hari ini yang ingin menjadi seperti hantu. Lihat sahaja ahli kumpulan blackmetal dan penyanyi rock barat, yang akan tampil dalam pelbagai solekan dan rupa yang amat mengerikan. Bagaimana pula dengan mereka yang membuang bayi, manusia yang mendera, perogol, perompak dan sebagainya? Bukankah mereka juga lebih dahsyat daripada hantu?
Salam... Hantu? apakah makhluk itu? Al Quran dan Al Hadis ada cerita tentang hantu? ntah lah.... kata orang tua-tua banyak hantu dalam dunia. Antaranya : hantu raya, hantu pocong, hantu galah, hantu air dan macam-macam lagi nama hantu diberikan.
BalasPadamSaya tertarik tentang dikatakan manusia takut dengan hantu melebihi takutkan Allah SWT. Memang benar kenyataan itu, pengalaman saya sendiri apabila dijelaskan akan balasan terhadap dosa yang dilakukan dalam satu kuliah / tazkirah kepada pelajar. Sedikit pun tiada `respon` malah ada yang masih mampu ketawa.
Sebaliknya , apabila saya cuba membawa satu cerita olahan sendiri tentang hantu, terus nampak perubahan riak muka mereka. Malah saya mendapat tumpuan yang lebih ketika menyampaikan cerita tersebut berbanding dengan kuliah yang sebenar.
Rasionalnya, wujudkah `HANTU` dalam dunia ini. jika benar-benar wujud ... kenapa tiada riwayat pada zaman nabi tentang hantu yang macam-macam namanya itu. Sudah tentu nabi akan memberi peringatan kepada umat Islam secara khusus dalam permasalahan hantu ini.
Sebagai contoh.... dalam sebuah kelas yang sedang bising, tiba-tiba ada seorang pelajar datang membawa khabar bahawa saya akan masuk kelas mereka, sedangkan pelajar tersebut langsung tidak mengenali saya. Dan mereka terus diam kerana takutkan saya. Logikkah mereka takutkan saya yang mereka tidak kenalpun siapakah saya. Rasanya hanya orang `gila` yang takut kepada sesuatu yang mereka tak pernah kenal.
Berbalik kepada kisah hantu ini, saya rasa umat Islam hanya diperbodohkan oleh cerita-cerita karut ini. Disitulah kelemahan umat Islam dalam menghadapi ancaman terhadap aqidah mereka. Timbang-timbangkan lah , wallahu `aklam.