ADAB-ADAB TERHADAP AL-QURAN
Khairuddin bin Said dalam
bukunya Kenali Al-Quran membincangkan
adab dengan al-Quran berdasarkan penjelasan Abu Bakar Muhammad bin al-Husain
al-Ajurri[1]
menjelaskan adab yang mesti menghiasi diri setiap pembawa al-Quran. Sebagai
langkah awal, pembaca al-Quran ditekankan agar mempunyai persiapan diri dari
sudut rohani dan jasmani agar sesuai menjadi pembaca dan pengamal al-Quran.
Pembaca al-Quran diberi pengiktirafan yang tinggi apabila
dia disamakan dengan para malaikat yang amat taat kepada Allah. Oleh itu
sewajarnya pembaca al-Quran berakhlak dengan akhlak mulia. Sentiasa bertaqwa
dengan menanamkan sifat warak dalam semua tindakan sama ada yang nyata atau
tersembunyi termasuk dalam urusan pakaian, makan dan minum serta pergaulan.
Pembaca al-Quran juga mesti peka dengan persekitarannya dan sentiasa berwaspada
terhadap maksiat yang berlaku serta berusaha mencegahnya. Apabila bercakap
mesti dengan percakapan yang baik dan niat untuk melakukan islah dalam
masyarakat.
Pembaca al-Quran juga mesti memastikan diri terpelihara
dari dosa terutama yang membawa kepada kefasikan. Semua perintah Allah mesti
dilaksanakan dan larangan ditinggalkan dengan penuh keinsafan. Al-Quran umpama
cermin yang memperlihatkan perbuatan baik atau buruk yang dilakukan. Semua
undang-undang yang diperintahkan oleh Allah mesti dipatuhi sebaik mungkin.
Dengan demikian seseorang itu telah meletakkan dirinya sebagai seorang yang
benar-benar membaca al-Quran yang menjadi pelindung, pembantu, saksi, teman dan
pencegah azab di akhirat. Kesediaan untuk mengamalkan kandungan al-Quran dalam
kehidupan menjadi kelaziman kerana pembaca al-Quran merupakan orang yang
mempunyai pengetahuan. Setiap
perbuatannya bersumberkan ilmu, apabila bercakap dia akan bercakap dengan ilmu,
apabila berhubung dengan orang lain dia berhubung dengan ilmu. Semua itu dapat
memagari dirinya dari kesalahan atau menderhakai Allah.[2]
Imam Nawawi dalam karangannya Adab-adab Bersama al-Quran
menyatakan perkara pertama yang menjadi kewajipan para pelajar al-Quran
ialah ikhlas dan menjaga adab bersama al-Quran. Oleh itu, hendaklah
mengingatkan dirinya bahawa dia sedang bermunajat dengan Allah. Dia hendaklah membaca dalam
keadaan orang yang melihat Allah. Jika dia tidak melihat Allah, maka Allah
melihatnya. Selain itu, adab terhadap al-Quran yang turut dibincangkan dalam buku tersebut ialah;[3]
1. Apabila dia mahu membaca al-Quran, hendaklah
dia membersihkan mulutnya dengan kayu siwak (sugi) atau lainnya. Kayu siwak
hendaklah daripada pohon arak (sejenis pohon). Harus juga dia menggunakan apa
sahaja dahan atau apa sahaja yang boleh
membersihkan seperti perca kain yang kasar, kain buruk atau seumpamanya. Adakah
kelebihan bersiwak akan terhasil jika menggunakan jari? Ada tiga pendapat di
sisi ulama’ mazhab Syafie. Pendapat yang paling masyhur ialah tidak terhasil.
Pendapat kedua terhasil jika dia tidak mempunyai sesuatu yang lain dan tidak
terhasil sekiranya dia mempunyai yang lain. Hendaklah dia bersiwak dengan cara
melintang bermula daripada sebelah kanan mulutnya. Dia hendaklah berniat untuk
melakukan sunnah.
Al-Mawardi
seorang ulama’ mazhab Syafie berkata : “Disunatkan seseorang itu bersiwak pada
sebelah luar dan dalam giginya. Dia hendaklah melakukan siwaknya pada tepi-tepi
giginya dan umbi-umbi gerahamnya serta dinding halkumnya secara berhati-hati”.
2. Disunatkan dia membaca al-Quran dalam keadaan
bersuci. Tetapi jika dia membaca dalam keadaan berhadath, hukumnya adalah harus
berdasarkan ijmak seluruh muslimin.
3. Disunatkan membaca al-Quran pada tempat yang
bersih dan terpilih. Oleh itu, sebahagian ulama’ menyatakan bahawa pembacaan
al-Quran disunatkan supaya dilakukan di
masjid. Ini kerana masjid adalah satu tempat yang bersih dan mulia ditambah
pula dengan mendapat satu fadhilat lain iaitu iktikaf. Mengenai hukum membaca
al-Quran di dalam bilik mandi, ulama’ salaf berselisih pendapat tentang
kemakruhannya. Ulama’-ulama’ mazhab kami berkata: “Tidak dimakruhkan”. Pendapat
ini dinaqalkan oleh Imam Abu Bakar bin al-Munzir daripada Ibrahim al-Nakhaie
dan Malik di dalam kitab al-Asyraf. Sebahagian ulama’ lain berpendapat ia
adalah makruh. Diantara mereka ialah Ali bin Abu Talib sebagaimana yang
diriwayatkan daripadanya oleh Ibnu Daud.
Manakala
hukum membaca al-Quran di jalan, pendapat yang terpilih bahawa ia diharuskan dan
tidak makruh jika tidak melalaikan pembacanya. Jika ia melalaikan, maka
hukumnya adalah makruh sebagaimana Rasulullah SAW memakruhkan bacaan orang yang
mengantuk kerana bimbang akan berlakunya kesilapan.
4. Disunatkan kepada orang yang membaca al-Quran
di luar sembahyang supaya menghadap kiblat. Dia hendaklah duduk di dalam
keadaan khusyu’ penuh ketenangan dan kehebatan serta menundukkan kepalanya. Dia
hendaklah duduk dengan memperelokkan adab dan ketundukannya sebagaimana dia
duduk di hadapan gurunya. Inilah yang paling sempurna. Jika dia membaca dalam
keadaan berdiri, atau berbaring, atau di atas katil, atau keadaan-keadaan yang
lain hukumnya adalah harus dan dia mendapat ganjaran tetapi tidaklah sebanyak
ganjaran membaca dalam keadaan yang pertama. Firman Allah dalam surah Ali
‘Imran ayat 190-191;
“Sesungguhnya
pada kejadian langit dan bumi serta pada pertukaran malam dan siang, ada
tanda-tanda kekuasaan Allah bagi
orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah semasa mereka
berdiri dan duduk serta semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula
memikirkan tentang kejadian langit dan bumi”.
5. Apabila seseorang seseorang mula membaca
al-Quran, hendaklah dia membaca isti’azah iaitu meminta perlindungan daripada
Allah dengan berkata:
Aku
mohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam.
Inilah
pendapat jumhur pada ulama’. Sebahagian ulama’ berkata hendaklah membaca
isti’azah itu selepas selesai membaca al-Quran. Ini adalah berdasarkan firman
Allah dalam surah al-Nahl ayat 98:
Oleh
itu apabila kamu telah membaca al-Quran, maka hendaklah kamu memohon
perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam.
6. Apabila memulakan bacaan, dia hendaklah
berkeadaan khusyu’ dan tadabbur (memerhatikan. Dalil-dalil yang memerintahkan
keadaan demikian amat banyak sehingga tidak terhitung dan amat masyhur. Inilah
tujuan pembacaan yang dituntut yang menyebabkan dada menjadi lapang dan
bercahaya. Firman Allah:
Maka
apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran (mentadabbur).
Surah al-Nisa’ : 82
Al-Quran
ini sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) penuh dengan
keberkatan supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya. Surah
Sod : 29.
Manakala
M. Muhammad Zakariyya[4]
mengkelaskan adab terhadap pembacaan al-Quran kepada 2 iaitu adab secara
lahiriah dan batiniah. Setelah menggosok gigi dengan bersiwak ( menggunakan
sejenis kayu pencuci gigi) dan berwudhuk, seseorang itu mestilah duduk di suatu
tempat yang terpisah dari orang lain dalam keadaan hormat dan rendah diri dan
mengadap ke arah kiblat. Kemudian dengan
hati yang penuh perhatian khusyuk dan girang menyelubungi suasana itu,
seseorang itu hendaklah membaca dan
membayangkan setiap masa bahawa dia sedang membaca kalimah-kalimah Allah SWT.
Jikalau
seseorang itu memahami maksudnya, hendaklah dia berhenti sekejap dan berfikir
bila bertemu dengan ayat yang mengatakan janji baik dan keampunan dan hendaklah
memohon kepadaNya keampunan dan kasih saying. Tentang ayat mengenai seksaan dan amaran, seseorang itu hendaklah
meminta perlindungan daripadaNya, kerana selain daripadaNya tidak ada lagi
penolong. Tentang ayat menyatakan Keagungan
dan KemualianNya seseorang itu hendaklah mengucapkan Subhanallah (Maha Suci
Allah). Jika dia tidak dapat mengeluarkan air matanya secara sendiri dengan
membaca al-Quran , maka paksalah dirinya supaya menangis sedikit.
Janganlah
membaca secara tergesa-gesa melainkan jika berhasrat untuk menghafalnya.
Al-Quran itu hendaklah diletakkan di atas satu tempat yang tinggi di atas rehal
atau bantal. Janganlah seseorang itu bercakap dengan orang lain ketika
membacanya. Jikalau terpaksa bercakap dengan orang lain, lakukanlah selepas
menutup al-Quran dan kemudiannya membaca ta’awuz (memohon perlindungan Allah
daripada syaitan) sebelum membacanya semula. Jikalau orang ramai di sekeliling
sibuk dengan tugas-tugas mereka maka hendaklah dibaca dengan suara perlahan.
Sebaliknya jika tidak, bacalah dengan kuat.
Mashaikh
telah menyebut enam peraturan secara lahiriah dan enam secara batiniah mengenai
bagaimana hendak menghormati pembacaan al-Quran dapatlah disimpulkan
sebagaimana perbincangan di bawah ini.
Adab
secara lahiriah ialah;
i.
Ambil
wudhuk dan kemudian duduk mengadap kiblat dengan cara yang penuh sopan.
ii.
Jangan
membaca dengan terlalu pantas tetapi bacalah dengan teratur dan betul sebutan
hurufnya.
iii.
Cubalah
berusaha untuk menangis walaupun anda terpaksa memaksa diri untuk melakukannya.
iv.
Tindak
balas terhadap ayat rahmat (keampunan) atau azab hendaklah seperti yang telah
diterangkan di atas.
v.
Bacaan
hendaklah dilakukan dengan perlahan jika didapati diri anda tidak ikhlas
ataupun menyebabkan gangguan.
vi.
Bacalah
dengan suara yang merdu kerana banyak hadith yang menekankan amalan ini.
Adab
secara batiniah ialah;
i.
Hati
kita hendaklah penuh dengan rasa keagungan, iaitu menyedari tentang kemuliaan
al-Quran.
ii.
Hendaklah
merasakan di dalam hati bagaimana Maha Halus, Maha Agung dan Maha Gemilangnya
Allah Yang Maha Berkuasa kerana al-Quran ini adalah wahyu daripadaNya.
iii.
Hati
kita mestilah bebas daripada gangguan dan keraguan.
iv.
Selamilah
maksudnya dan perolehilah kenikmatan daripada bacaan kita. Pernah satu ketika,
Rasulullah SAW berdiri seluruh malam membaca ayat berikut berulang kali.
Jika
Engkau mengazabkan mereka, mereka adalah hamba-hambaMu dan jika Engkau
mengampunkan mereka, Engkaulah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-Maidah ayat 118).
v.
Hendaklah
ada kesan di hati tentang perkara-perkara yang terdapat di dalam
potongan-potongan ayat yang dibacakan itu. Misalnya tentang ayat rahmat hati
kita hendaklah penuh gembira. Dan tentang ayat yang membaca berita azab, hati
kita hendaklah berasa takut dan gementar.
vi.
Telinga
kita mestilah dipasang dengan penuh perhatian seolah-olah Allah yang Maha
Berkuasa sendiri berkata-kata kepada kita dan pembaca itu mendengar kepadaNya.
[1] Ajurri Muhammad bin al-Husayn (2003), Akhlaq Ahl al-Quran, tahqiq :Muhammad ‘Amr bin ‘Abd al-Latif,
Beirut : Dar kutub al-‘Ilmiyah, m/s77-108.
[2] Khairuddin Bin Said (2012), Kenali al-Quran, Johor Darul Takzim
:Perniagaan Jaharbesa, m/s 175-176.
[3] Imam Nawawi (2011), Adab-adab BersamaAl-Quran. Terj. Ust
Hj.Anwar Fakhri bin Hj.Omar. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd. m/s 61-72
[4] M. Muhammad Zakariyya. 2009. Hikmah
dan Fadhilat Al-Quran. Terj.
Abd.Aziz Bin Abd.Hamid. Kuala Lumpur : Darul Nu’man. m/s 8-11.
Recent Comments